
Sempena hari yang penuh bermakna ini, marilah kita bersama-sama melafazkan kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana kita semua dapat menjalani kehidupan harian dalam suasana yang aman dan damai, dan tidak sepertimana dalam keadaan yang tidak diingini di sesetengah negara lain. Sesungguhnya, keamanan dan keharmonian yang kita kecapi ini adalah kurnia dari allah subhanahu wataala atas hasil daripada usaha gigih yang dicurahkan oleh pelbagai pihak, terutamanya warga Angkatan Tentera Malaysia. Sedar atau tidak, adalah menjadi tanggungjawab ATM untuk memastikan keadaan ini berkekalan bagi membolehkan segala agenda kemajuan dan pembangunan serta aktiviti harian rakyat jelata berjalan dengan lancar dan selesa.
Sebagai perisai negara, ATM sentiasa komited memainkan peranan utamanya iaitu mempertahankan kedaulatan tanahair dan segala kepentingan strategiknya daripada ancaman luar. Berdasarkan kepada keadaan keselamatan global dan serantau yang semakin kompleks dan mencabar dewasa ini, Angkatan Tentera Malaysia akan terus berwaspada dan bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan sama ada berbentuk tradisional mahupun yang bukan tradisional. Dapat kita perhatikan bahawa trend ancaman keselamatan pada hari ini muncul secara tiba-tiba tanpa amaran awal yang jelas.


No comments:
Post a Comment