Awal Mulo Tok Kalo Mulo

Versi Bahasa Kelantan

Tohok kemano pong..kalu bako baik tetak jadi baik..tohok kelauk jadi pulau..tohok kedarak jadi manusio..Imej anok kelate kito keno jago..jange bui orghe pande rendoh..orghe kecek orghe putih..kito kecek orghe putih..orghe kecek prancih..kito bubuh hok mano patuk..janji bunyi serupo prancih..

Versi Bahasa Buku

Kalau baka yang baik, campak kat mana pon tetap jadi baik..campak ke laut jadi pulau..campak ke darat jadi orang..Imej anak Kelantan perlu dijaga..jangan sampai orang pandang rendah..kalau orang berbahasa Inggeris..kita berbahasa Inggeris..kalau orang berbahasa Perancis..kita hentam apa yang patut..asalkan bunyinya macam bahasa Perancis..

Monday, August 30, 2010

Erti Sebuah Kemerdekaan Bhg.3

Siapakah Pejuang Kemerdekaan Sebenar?

Setiap tahun pasti ada segmen samada di televisyen atau akhbar-akhbar tempatan yang menampilkan beberapa orang ’pejuang’ kemerdekaan untuk tatapan generasi yang lahir sesudah merdeka, agar mengenali dan menginsafi kepayahan mendapatkan sebuah kebebasan. Mereka ditemuramah dan diminta menceritakan kisah perjuangan mereka sehingga Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Tidak kurang, sejarah beberapa orang tokoh yang telah kecundang turut dikisahkan. Jika dulu kisah-kisah seperti Leftenan Muda Adnan dan Bukit Kepong sering diketengahkan setiap kali menjelang hari kemerdekaan, kini kehangatannya sudah semakin pudar seiring dengan pudarnya semangat kemerdekaan yang ditunjukkan oleh masyarakat Malaysia. Mungkin juga kerana rakyat Malaysia khasnya umat Islam mula menyedari bahawa Tanah Melayu sebenarnya memperolehi kemerdekaan tanpa menumpahkan setitis darah pun. Kemerdekaan yang diperolehi sesungguhnya adalah melalui proses ’rundingan’ yang dilakukan oleh Perdana Menteri Pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman dengan pemerintah British ketika itu. Sejarah menceritakan kepada kita bagaimana Tunku Abdul Rahman berulangalik ke kota London untuk ’menagih’ sebuah kemerdekaan yang sememangnya telah dirancang oleh British. Setelah British berpuas hati bahawa segala cara hidup, undangundang dan juga sistem kufur ciptaan mereka akan diteruskan oleh pemimpin-pemimpin Tanah Melayu, maka British dengan senang hati dan bangga ’menghadiahkan’ sebuah kemerdekaan kepada Tanah Melayu.

Wahai kaum Muslimin! Kajilah dengan minda yang jernih dan kalian akan menyedari bahawa sebenarnya Leftenan Muda Adnan adalah seorang askar Melayu yang berjuang mempertahankan Bukit Candu dari serangan Jepun pada 13 Februari 1942 di atas tiket tentera British dan bukannya menentang Jepun untuk mendapat kemerdekaan, tetapi untuk mempertahankan British. Begitu juga dengan peristiwa Bukit Kepong yang sebenarnya tidak ada kaitan dengan perjuangan kemerdekaan. Kakitangan polis di bawah naungan British pada waktu itu terpaksa berjuang untuk mempertahankan diri masing-masing di Berek Polis Bukit Kepong yang diserang oleh Komunis yang diketuai oleh Muhammad Indera dengan kekuatan 200 orang anggota. Peristiwa berdarah ini berlaku pada pukul 5.00 pagi tanggal 23 Februari 1950 dan mengakibatkan seramai 50 orang terbunuh. Perjuangan mereka ini pada hakikatnya bukanlah untuk kemerdekaan seperti yang disangkakan ramai. Hakikatnya, perjuangan mereka ini adalah mengatas namakan British dan pemerintahannya di Tanah Melayu. Inilah kejayaan British. Mereka berjaya menanamkan konsep bahawa sesiapa sahaja yang menjadi musuh British, maka ia adalah musuh kita. Kita amat membenci Jepun, begitu juga Komunis, tetapi kita amat sayang kepada British, walhal mereka inilah yang memecahbelahkan kita dan menjadi penjajah yang lebih dahulu dan lebih lama menjajah kita daripada Jepun atau Komunis. Berlaksa-laksa emas kita, timah kita, bijih besi kita dan lain-lain sumber alam kita yang mereka rampas, kemudian kita berterima kasih kepada mereka kerana menganugerahkan kita sebuah ’kemerdekaan’!

Tidakkah kita sedar bahawa walaupun penjajahan telah berakhir, namun British masih berjaya meletakkan dirinya sebagai tuan kepada semua negara bekas jajahannya melalui kewujudan negara-negara Commonwealth, yang tak lain tak bukan bertujuan memperingati ’ketuanan’ British suatu waktu dulu. Dalam aspek lain, ternyata ketuanan British sampai sekarang masih ada di hati sebahagian dari umat Islam. Rasa bangga apabila dapat belajar di negeri penjajah masih menebal di kalangan masyarakat. Rasa bangga apabila dapat menguasai bahasa penjajah juga masih berlegar dalam masyarakat. Rasa bangga dengan kemerdekaan yang mereka hadiahkan kepada kita masih sampai sekarang dirasai dan dira’i! Inilah kejayaan British.

Wahai kaum Muslimin! Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam telah berjaya membuka kota Mekah pada tahun ke-8 Hijriyyah. Rasulullah telah mengeluarkan umat manusia dari kegelapan menuju cahaya. Baginda berjaya membebaskan manusia yang ada di Mekah pada waktu itu yang masih terbelenggu dengan sistem Jahiliyyah dan menggantikannya dengan sistem Islam. Rasulullah dan para sahabat seterusnya berjaya melepaskan satu demi satu negara yang dikongkong dengan penyembahan kepada taghut dan memimpin mereka kepada penyembahan kepada Allah. Khalifah Umar Al Khattab radhiAllahu ’anhu telah membuka kota Baitul Muqaddis, kiblat pertama umat Islam yang di dalamnya terdapat Masjid Al-Aqsa yang merupakan masjid ketiga mulianya di sisi Islam. Sultan Muhammad Al Fatih telah membuka Constantinople (Istanbul) dan Allah telah memberi kemuliaan kepada beliau melalui sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam, “Sesungguhnya Costantinople itu pasti akan dibuka. Sebaik-baik ketua adalah ketuanya, dan sebaik-baik tentera adalah tenteranya” [HR Ahmad].

Ramai lagi para para pemimpin Islam yang telah melakukan perkara yang sama, samada di zaman pemerintahan Bani Umayyah, Abbasiyyah mahupun Uthmaniah. Salahuddin Al-Ayubi, seorang tokoh yang sukar dicari ganti yang telah melancarkan banyak jihad untuk membebaskan
manusia dari kegelapan dan kezaliman pemerintahan kufur menuju pemerintahan Islam. Pembebasan Baitul Muqaddis merupakan sejarah harum yang telah dilakukan oleh beliau. Panglima Islam, Rabi’ bin Amir, di dalam misi jihadnya ke Parsi, dengan tegas dan beraninya menyatakan kepada Rustam, Ketua Panglima perang Parsi, “Sesungguhnya Allah telah mengutus kami untuk mengeluarkan manusia dari penyembahan sesama makhluk kepada penyembahan kepada Allah, dari kezaliman agama-agama yang ada menuju keadilan Islam, dan dari kesempitan dunia kepada keluasan akhirat.”

Di sepanjang pemerintahan mereka, para Khalifah Islam tak putus-putus melancarkan jihad dan membuka serta membebaskan manusia daripada belenggu sistem hidup kufur kepada sistem hidup Islam. Tokoh-tokoh inilah yang merupakan pejuang kemerdekaan sebenar. Mereka membebaskan negara-negara kerana Allah, mereka memerdekakan negara-negara kerana mengikuti Rasulullah dan mereka berjuang demi meninggikan kalimat Allah, bukan berjuang mempertahankan musuh dan sistem kufur. Mereka ini juga bukan merupakan ’pejuang kebangsaan’, tetapi merekalah ’pejuang Islam’ yang dirahmati Allah. Tokoh-tokoh inilah yang sepatutnya dibanggakan dan diikuti oleh kita kaum Muslimin. Mereka membebaskan umat manusia dan membawanya menuju kebangkitan dan kemuliaan, hanya dengan Islam.

No comments:

Post a Comment