Awal Mulo Tok Kalo Mulo

Versi Bahasa Kelantan

Tohok kemano pong..kalu bako baik tetak jadi baik..tohok kelauk jadi pulau..tohok kedarak jadi manusio..Imej anok kelate kito keno jago..jange bui orghe pande rendoh..orghe kecek orghe putih..kito kecek orghe putih..orghe kecek prancih..kito bubuh hok mano patuk..janji bunyi serupo prancih..

Versi Bahasa Buku

Kalau baka yang baik, campak kat mana pon tetap jadi baik..campak ke laut jadi pulau..campak ke darat jadi orang..Imej anak Kelantan perlu dijaga..jangan sampai orang pandang rendah..kalau orang berbahasa Inggeris..kita berbahasa Inggeris..kalau orang berbahasa Perancis..kita hentam apa yang patut..asalkan bunyinya macam bahasa Perancis..

Saturday, August 28, 2010

Erti Sebuah Kemerdekaan Bhg.1

ERTI SEBUAH KEMERDEKAAN

Tatkala kita masih lagi bersedih dengan apa yang menimpa saudara kita di Lebanon, persiapan untuk menyambut hari kemerdekaan Malaysia ke-49 sedang giat dijalankan. Kempen mengibarkan Jalur Gemilang setiap hari ke udara di kaca televisyen. Beberapa orang Menteri pula ’terpaksa’ turun padang untuk memeriahkan lagi suasana sambutan yang dari setahun ke setahun dilihat semakin tidak mendapat perhatian rakyat Malaysia. Jika dulu rakyat secara sukarela mengibarkan bendera Malaysia setiap kali masuk bulan kemerdekaan, tetapi sekarang rakyat harus ’dipaksa’ untuk berbuat demikian. Jika dulu Jalur Gemilang kelihatan terpacak di cermin hadapan hampir setiap kenderaan, sekarang ini bilangan yang berbuat demikian boleh dikira dengan jari. Yang masih ’setia’ mengibarkannya hingga sekarang hanyalah pejabat-pejabat kerajaan, itupun ’atas arahan’. Minggu depan, upacara rutin gilang gemilang akan disambut dengan penuh kemeriahan oleh golongan-golongan tertentu, yang majoritinya adalah dari kalangan umat Islam.

Di dalam suasana menyambut 31 Ogos ini, pihak pemerintah berputih mata cuba menanamkan rasa bangga di kalangan rakyat Malaysia dengan kemerdekaan yang telah diberikan oleh British ini. Walaupun memang terdapat segelintir rakyat yang betul-betul bangga dengan kebebasan yang telah dikecapi, namun sebahagian besar rakyat nampaknya mesti ’dipaksa’ untuk berbangga dengan kemerdekaan yang diperolehi. Seperti biasa, media massa merupakan alat yang cukup efektif untuk memainkan peranan penting ini. Sautun Nahdhah kali ini akan mengupas samada umat Islam patut merasa bangga dengan sebuah kemerdekaan yang telah ’dihadiahkan’ oleh British ini sedangkan umat Islam di seluruh dunia masih berada di dalam perpecahan dan kehinaan, hasil dari pemerintahan sekular yang diwarisi dari penjajah kufur Barat. SN juga akan membincangkan apakah makna sebenar ’kemerdekaan’ bagi umat Islam, tanpa mengira di negara manakah mereka berada.

Apa yang Hendak Dibanggakan?

Seperti tahun-tahun yang telah berlalu, sambutan kemerdekaan tahun ini sekali lagi diraikan dalam suasana negara yang masih berhadapan dengan pelbagai masalah. Kes-kes jenayah terutama penyalahgunaan dadah semakin menjadi-jadi. Kes-kes dadah yang pada mulanya hanya merosakkan generasi muda, kini telah menular menjadi satu ancaman kepada seluruh masyarakat dengan munculnya dadah baru seperti syabu. Ia dikatakan lebih merbahaya kerana menyebabkan penagih hilang pertimbangan dan mengalami halusinasi yang seterusnya menyebabkan penagih menyerang orang-orang di sekelilingnya. Lebih mendukacitakan, kebanyakan penagih terdiri dari golongan muda yang beragama Islam. Selain itu, kes murtad turut menghangatkan Negara dengan angka yang begitu mengerikan. Banggakah kita menyambut kemerdekaan dengan fenomena sebegini? Jika diteliti dengan mendalam, kebanyakan umat Islam di Malaysia sebenarnya sejak era penjajahan hingga sekarang, hidup dalam suasana yang amat menyedihkan. Semasa pemerintahan British, umat Islam ketika itu terpaksa menanggung tekanan kedaifan hidup disebabkan oleh kekayaan negara yang disedut sehabis-habisnya oleh si kafir penjajah. Kebencian dan kejahatan British kepada umat Islam begitu terserlah di mana kaum Muslimin betul-betul diatur oleh British agar terus berada di dalam kemunduran dan kehinaan. British pada waktu itu melaksanakan satu sistem yang dikenali sebagai ’pecah dan perintah’ (divide and rule) menyaksikan umat Islam dipinggirkan, ditempatkan di kampung-kampung, dibiarkan, didiskriminasi dari segi peluang pekerjaan dan sebagainya. Sebaliknya orang bukan Islam diberi penempatan di bandar-bandar dan diberi peluang pekerjaan yang lebih baik. Namun demikian, dalam masa yang sama, British melatih dan menanamkan kepada umat Islam rasa ’sayang dan hormat’ kepada mereka. Sesiapa yang ingin berkhidmat dengan tentera British akan ’dimuliakan’ oleh mereka dan ’dijaga’ dengan baik. Sesiapa yang taat kepada British, khasnya para pemimpin yang menyanjung tinggi nilai-nilai mereka, akan dilayan dan diberi kedudukan istimewa. Keadaan umat Islam di Tanah Melayu, khususnya dalam bidang ekonomi ketika itu sangat mundur berbanding dengan kaum-kaum lain. Menurut perkiraan kasar, penjajah membolot 60% daripada kekayaan Negara sementara yang baki dimiliki oleh bukan Islam. Manakala orang-orang Melayu-Islam hanya memegang 1% sahaja daripada kekayaan ekonomi negara. Di bandar-bandar pula, biasanya tidak ada satu kedai pun yang dimiliki oleh orang Islam. Semua perniagaan dimiliki dan diusahakan oleh orang bukan Islam, khasnya kaum Cina. Golongan pekerja, selain daripada pemandu kereta dan budak pejabat, semuanya terdiri daripada bukan Islam. Majoriti orang Melayu-Islam menjadi penanam padi atau nelayan kecil dengan pendapatan yang amat rendah sekali. Umat Islam yang tidak bekerjasama dengan British rata-rata menderita di bumi sendiri. Inilah keadaan ayah-ayah, ibuibu dan datuk nenek kita dahulu. Apakah keadaan itu telah benar-benar terhapus ketika ini? Jika difikirkan sedalam-dalamnya, umat Islam sebenarnya sedang melalui proses penderitaan yang hampir sama dengan apa yang dialami oleh generasi terdahulu, malah lebih buruk lagi. Umat Islam sekarang menjadi hamba kepada hawa nafsu dan menjadi hamba kepada taghut. Sejak penjajahan, umat Islam tidak lagi bangkit dan tidak pernah merdeka dari ideologi hidup yang telah ditanam oleh British. Jika dulu umat Islam ’bekerja untuk hidup’ dengan jalan yang diredhai oleh Allah, tetapi setelah kedatangan British, apatah lagi sekarang, umat Islam ’hidup untuk bekerja’, mencari kekayaan dunia tanpa menghiraukan lagi untuk apakah Allah menghidupkan dia di dunia ini. Masa dan tenaga betul-betul dimanfaatkan untuk mencari kekayaan duniawi, sehingga tiada masa diperuntukkan untuk Islam. Jika dulu manusia berhukum dengan hukum dari Allah, tetapi setelah penjajahan British, manusia berhukum dengan hukum dari British. Inilah antara ideologi kufur Kapitalis yang dibawa dan ditinggalkan oleh British dansedang diamalkan oleh negara-negara umat Islam ketika ini. Banggakah kita dengan hukum kufur yang masih mendominasi kehidupan kita hari ini?

No comments:

Post a Comment